Kerjaya muzik Anuar_Zain

Beliau lahir di Merlimau tetapi membesar di Shah Alam, Selangor. Adik kepada penyanyi Ziana Zain ini merupakan orang terawal yang bergiat di dunia hiburan pada zaman remaja apabila beliau telah menghasilkan album duet bersama Ellina. Ketika itu lagu yang amat diminati ialah "Kain Pelikat".

Namun begitu, perjuangan pasangan duet ini akhirnya terpaksa dibubarkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Setelah kerjaya seni Anuar tidak dapat diteruskan, Anuar mengambil keputusan bekerja sebagai pramugara bersama syarikat penerbangan MAS, pada penghujung 80-an.

Hampir sepuluh tahun menyepikan diri, akhirnya pada 1998 Anuar Zain muncul kembali apabila beliau menandatangani kontrak bersama syarikat Warner Music Malaysia Sdn. Bhd. dan menghasilkan sebuah album yang bertajuk 'Anuar Zain' yang mengandungi lagu-lagu popular seperti "Bila Resah", "Jangan Bersedih Lagi", "Kita" dan "Musim Berlalu".

Beliau telah dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik dan Vokal Lelaki Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) tahun 1998. Walau bagaimanapun, perselisihan faham dengan syarikat Warner Music membuatkan beliau keluar dari syarikat itu lalu telah dilamar oleh syarikat Synchrosound Music Sdn. Bhd. Beliau menghasilkan album bersama syarikat berkenaan dengan lagu-lagu popular antaranya "Permata", "Mungkin", "Keabadian Cinta", "Sesucinya Cintamu".

Beliau turut cuba menonjolkan diri dalam bidang lakonan apabila muncul dalam filem "Bintang Hati" bersama dengan pelakon dan penyanyi sensasi Amy Mastura. Dengan cubaan demi cubaan, Anuar Zain akhirnya melangkah dengan lebih berani lagi ke dalam industri seni tanah air hingga menjulang namanya apabila dinobatkan dengan pelbagai anugerah. Kini, Anuar Zain masih diminati dan dikenali ramai.

Konsert Anuar Zain - Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari

Nama konsert ini diadakan sempena genap 30 tahun Anuar Zain berada di arena seni suara dengan penuh cinta pada muzik dan beliau sangat sayang pada peminatnya sepenuh hati sanubari. Tambah mengujakan apabila ianya berlangsung sehari selepas sambutan ulangtahun Anuar Zain yang ke-43 tahun. Konsert ini telah diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam. Anuar Zain memukau hampir 5,000 penonton yang menyaksikan konsert Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari.[2]

Selama 30 tahun, sudah cukup membuktikan kredibiliti dan reputasi serta populariti Anuar Zain dan pengalaman 30 tahun itu dikongsi bersama dengan peminat pada malam itu. Adik kepada penyanyi Ziana Zain itu membuktikan diri dan bakatnya masih utuh di liga tersendiri saat muncul di pentas jam 9.05 malam disambut jeritan dan teriakan penonton. Penganjuran konsert anjuran Anuar Zain Network dengan kerjasama Universal Music ini juga sebagai simbolik 30 tahun pembabitannya dalam dunia seni.[3]

30 tahun pancawarna Anuar Zain di dalam gelanggang muzik Malaysia dilagukan merentasi memori terindah bersama pengarah muzik tersohor tanahair, Mac Chew dan dipersembahkan dengan iringan 26 ahli orkestra menjanjikan temasya sebenar meraikan Anuar Zain dan legasi muziknya.

Anuar Zain tampil dengan gaya klasik, turut mendendangkan 20 lagu termasuk yang memperkenalkannya di arena seni. Sepanjang lebih dua jam menghiburkan penonton, Anuar juga mengembalikan kehangatan lagu Ajari Aku apabila Nora Danish yang menjadi model klip video lagu itu tampil dengan persalinan rekaan Hatta Dolmat sebagai gimik di atas pentas.[4]